01 Julai 2020

CAUSE AND EFFECT

"Cause and effect,tuan. Cause and effect" katanya ringkas. Jawapan itu saja diulang-ulang setiap kali aku dan staf-staf aku bertanya kenapa dia pukul si pengadu sehingga patah kaki.
Aku renung jauh dalam matanya untuk mencari secebis rasa kesal. Rasa remorse. Rasa taubat dalam dirinya atas perlakuannya. Nil. Kosong.
Tiada satu pun rasa itu dapat aku kesan dari dia. Mungkin benar yang kemanusiaan sudah benar benar pupus.
Si pengadu pula masih mengaduh tersandar menunggu di kerusi panjang di satu penjuru lain bilik itu. Sebenarnya bukan kerusi panjang mana pun,cuma dua kerusi yang kami susun secara berhadapan.
Biasanya "kerusi panjang" ini diguna bila ada pegawai pegawai kerja malam yang nak mengular dan curi masa tidur. Aku tak pernah marahkan pegawai yang berbuat begitu. Kerana aku sendiri pernah buat. Aku bukannya hipokrit.
"Terangkan.."kataku pendek,tetapi tegas.
"Hidup ni berpaksi kepada hukum aturan inilah,tuan inspektor. Cause and effect. Sebab dan akibat. Bukan baru pun benda ni. Dari zaman Melaka..hell,even dari zaman firaun lagi dah guna aturan sebab dan akibat ni,tuan. Apa lagi yang nak diterangkan?" tanyanya seolah menyindir.
"Saya faham apa itu cause and effect. Yang saya nak tahu,kenapa awak patahkan kaki dia?" ujarku semula.
"Macam saya kabor tadilah,tuan. Cause and effect. Contohnya,macam sekarang ni. Saya sepatutnya sekarang ni tengok adik saya punya majlis konvo. Tapi,oleh sebab mamat bangang ni.."
"Karim..nama budak yang awak kata mamat bangang ni,Karim. And i would prefer kalau awak boleh refer dia as 'pengadu'..bukan mamat bangang.Lagipun ini untuk tujuan nak mudah tulis report nanti" potongku sebelum dia sempat meneruskan.
"Baik,tuan. Saya minta maaf. Pasal si Karim nilah,saya tak dapat hadir majlis konvo adik saya. Saya kena hadir buat report ni,adalah sebab. Dan saya tak dapat hadir majlis konvo adik saya pula,adalah akibat."
"Adik awak pun ada pukul si pengadu?" sorang staf aku,Akmal pula mencelah. Aku renung si Akmal pula. Akmal ni memang jenis lurus. Atas sebab dia luruslah aku suka dia kerja untuk aku. Senang nak dipergunakan. Cuma kadang kala aku perlu sabar juga dengan lurus dia.
"Abaikan dia,teruskan"kataku.
"Saya kena buat report,sebab. Tak dapat hadir konvo adik,akibat. Tapi tuan,sebenarnya sebab dan akibat akan terus berhubung. Ianya adalah pengulangan yang besar. Sebab akan sentiasa jadi akibat kepada sesuatu yang lain. Sebab akan jadi akibat,dan akibat pula akan menjadi sebab kepada sesuatu yang lain. Ianya adalah pengulangan. Hidup tu sendiri adalah satu pengulangan"
"Itu aku paham. Aku tak perlu syarahan tentang aturan hidup dan pengulangan apa segala. Aku cuma nak tau tentang kenapa kau pukul mamat bangang tu..eh,maksud aku Karim..atau pengadu" aku hampir hilang sabar.
"Okeh tuan,dia langgar belakang kereta saya. Itu sebab. Dan oleh kerana itu,saya pukul dia..itu pula adalah akibat. Dan sebab tu yang jauh lebih penting dari akibat,tuan. Ni,kereta saya dah calar. Siapa nak bayar ganti rugi? Makwe dah tanak naik kereta calar saya. Siapa nak jawab? Market saya jatuh. Siapa nak jawab? Tuan jangan asyik nak tengok pada "akibat" dan tak mahu tengok "sebab" tuan. Penting ini semua ni,tau. Tuan kena tengok semua ni as a whole..secara menyeluruh" katanya panjang lebar.
"Jadi,awak kerjakan mamat bangang..maaf,maksud saya Karim pasal  dia terlanggar kereta awak? Kan itu kemalangan. Insuran akan tanggung" kataku.
"Ahh..tanggung ke apa ke,kereta saya dah calar..itu sebab. Saya pukul dia,itu akibat. Apa yang susah sangat tuan nak paham?"
"Owhhh..mudah aje sebenarnya kes awak ni. Baru saya paham" kataku lagi.
"Nasib baiklah tuan paham. Mudah kerja saya"
"Akmal,sediakan saman tiga ratus untuk mamat ni for reckless driving. Dan charge dia juga atas mengganggu ketenteraman awam. Dan satu lagi,charge dia atas mencederakan orang awam. Dan pastikan kos perubatan mamat bangang..eh,maksud saya Karim,dijelaskan oleh dia ni" kataku sambil menunjuk kepada si pelaku.
"Ehhh..apa ni,tuan? Apa pulak saya kena? Tadi kata tuan paham? Ini dah macam tak paham ni,tuan"dia terkejut.
"Cause and effect,bro" kataku ringkas.
"Maksud tuan apa? Apa maksud tuan?"
"Well,aku cuma ikut analogi kau. Cause and effect. Dan effect tu akan jadi cause for something greater,kan? Dan ianya adalah pengulangan. Kan?"senyumku.
"Saya tak paham,tuan"
"Apa susah sangat kau nak paham?"tanyaku semula.
"Kenapa saya kena macam macam,mamat tu tak kena apa apa? Saya tak paham"
"Apa pulak tak paham? Cause and effect,kan? Kau patahkan kaki anak aku,dan kau datang balai buat report dan nak salahkan anak aku? Come on,bro. Cause and effect"
"Sial,anak kau? Aku tak puas hati. Panggil bos kau,aku nak cakap dengan DSP. Panggil bos kau."katanya marah.
"Boleh..kalau kau nak aku panggil DSP. Tapi,kau perlu sebab yang jauh lebih kukuh. Takkan kau ingat mudah mudah kau nak bagitau DSP kami,kau patahkan kaki cucu dia dan nak salahkan cucu dia? Kan?" kataku lagi.
Well,hidup ini juga adalah pengulangan.

Tiada ulasan: