Ada orang kata, sejarah itu ditulis oleh pihak yang menang. I respectfully disagree. Sometimes, thats just not the case. Kalau ikut kepada pendapat aku, sejarah sebenarnya bukan ditulis oleh orang yang menang.
Tetapi, ditulis oleh orang yang care. Orang yang peduli. Orang yang kisah. Dan selalunya (tapi tak semua…) orang yang akan peduli tentang sejarah itu adalah mereka yang menang. Kerana pihak yang menang tu mahu semua orang tahu mereka telah menang, sebab itu kebiasaanya sejarah yang mereka tulis kadang kala exaggerate dan kadang kala sukar dipercayai. Mungkin, kemenangan sahaja tidak memadai untuk mereka. Mereka mahu menjadi dewa. Mahu diagungkan. Mahu menjadi hero. Mahu menjadi Tuhan. Macam mistik pun kadang kala ada. Sehinggakan kadang kala sukar untuk kita terima segala cerita mereka ni. Bercampur antara mitos, kepercayaan kuno, berlebih lebihan dan kadang kala hampir tak masuk akal. Nak percaya pun kadang kadang jadi susah.
Pihak yang kalah pula, jarang sekali mahu bercerita tentang sejarah kejadian sesuatu perkara itu. Walaupun kejadian itu benar berlaku. Atau mungkin juga kerana mereka terlalu sibuk meratapi kekalahan mereka. Sebenarnya, setiap sejarah yang berlaku ada lipatan tersembunyi yang mungkin boleh kita pelajari dari pihak yang kalah. Kenapa..Bagaimana..Siapa..Apa..Dimana. Itu semua perkara penting yang perlu kita dengar dari dua belah pihak. Dari pihak yang menang, dan juga dari pihak yang kalah.
Sekiranya pihak yang kalah sanggup menulis peristiwa sejarah kekalahan mereka itu, biasanya ada satu aje sebab. Sebab dalam kes itu,mereka yang sebenarnya mahu dianggap hero. Mahu dianggap pejuang. Mlah kekalahan mereka kadang kala di”glorify”kan seolah olah, macam berlaku penindasan sehingga mereka kalah. Dan dibuatnya seolah olah pihak yang menang tu sekadar menang nasib. Dan mereka mahu perjuangan mereka (..kononnya) itu membuka mata dan hati orang lain yang membaca sejarah mereka.
Dan kisah yang bakal aku ceritakan ini adalah salah satu berlainan dari cerita dua pihak itu. Tak sama dengan cerita dari pihak yang menang..dan tidak sama dengan cerita dari pihak yang kalah.
Kerana ini cerita dari pihak yang peduli. Yang care.
Semua orang mahu jadi hero. Betul. Semua. Even the people yang ends up jadi villain pun, sekurang kurangnya at one point, dia mahu jadi hero. Bak kata Harvey Dent (once a hero and now a villain dalam siri Batman) “You either die a hero or live long enough to see yourself become the villain”.
Dan dia sendiri pun dah prove that quote bila dia transit diri dia dari The White Knight of Gotham, kepada Two Face. Hell, even kalau kau jadi villain pun, masih sebenarnya kau adalah hero kepada sebilangan kecil puak atau kelompok yang kau perjuangkan.
Sukar untuk aku percaya, wujud manusia yang jahat dan percaya dia total evil. Sejahat mana pun dia, mesti dia ada something untuk justify benda jahat yang dia buat tu sebenarnya baik dan untuk buat tindakan dia (nampak) rasional.
Apa yang menjadikan seseorang tu layak menyandang gelaran hero?
Apa persamaan yang ada pada semua hero hero ni?
Mudah dan simple aje.
A great villain.
Jangan salah sangka. Villain tak semestinya hanya individu atau segerombolan manusia (atau kadang kala machine untuk kes seperti Terminator). Villain juga kadangkala mengambil bentuk lain. Keadaan, cuaca, peristiwa, suasana dan pelbagai lagi benda boleh jadi villain dan supervillain. Untuk contoh, boleh rujuk Batman siri awal, yang menjadi villain adalah sistem yang penuh korupsi, salah guna kuasa dan politician yang gila kuasa hingga sanggup menjadi barua kepada ahli mafia. Macam kes Malaysia pun ada juga ni sebenarnya.
Sebenarnya aku nak bercerita tentang cara bagaimana aku dan beberapa orang kenalan menjadi hero.
Cerita ini terjadi masa aku baru pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama harian di Johor Bahru. Sekolah tu sebenarnya baru saja buat “rebranding”. sebelumnya, sekolah tu adalah all girls schools. Selepas rebranding, pintu pagar sekolah itu dibuka untuk pelajar lelaki dan nama sekolah juga ditukar. Kami, pelajar tingkatan satu (ambilan UPSR) dan tingkatan empat (lepasan PMR) adalah pelajar lelaki batch pertama yang masuk ke sekolah itu. Manakala, tingkatan 2,3,dan tingkatan 5 telah pun wujud pelajar perempuan dari sekolah asal sebelum sesi rebranding.
Tiap kali semasa perhimpunan mingguan, pelajar lelaki yang baru ini akan sentiasa diingatkan bahwa kami adalah “pembuka jalan” dan “pencorak” kepada masa depan sekolah ini. Kami dikatakan creme de la creme (sampai sekarang aku tak pasti sangat apa benda yang krim sangat tu) untuk sekolah tu. Dan sekolah tu juga lepas sesi rebranding, ada letak nama Agama di nama sekolah menjadikan semua orang nampak kami bertanggungjawab memikul nama Agama tu.
Walau pada masa tu, kami selaku pelajar tingkatan satu sebenarnya adalah lebih berasa teruja dapat tinggal di asrama dan tanpa kawalan ibu bapa berbanding menjadi creme de la creme atau model pelajar contoh dan segala macam tu. Lagi pula kami dijerumuskan ke lembah asing yang peratus lawan sejenis kami hampir 3 kali ganda dari jumlah pelajar lelaki. Maunya tak happy? Maklumlah jiwa muda, jiwa masih mahu berseronok.
Selepas hampir sebulan kami di sekolah itu, baru kami terasa akan perlunya menimbulkan some kind of impact kepada sekolah dan masyarakat sekitar. Atau maybe juga sebab masa tu kami sedang bizi melobi diri supaya ada akak akak senior yang sudi nak amek kami jadi adik angkat..mungkin. Sekurang kurangnya sekali sekala dapatlah merasa makan coklat Cadbury kalau ada akak angkat bagi..iye dak?
Dan apa lagi bidang yang paling mudah untuk memikat wanita, selain dari bola sepak? Buktinya ada pada Posh Spice, Shakira, Melissa Satta. Kalau nak yang local pun ada. Ayu Raudhah, Mia Ahmad, Rita Rudaini. Maknanya dari dulu lagi makwe cun dah memang suka lelaki yang pandai main bola. Maybe dah dalam DNA wanita kot. Aku tak tau. Aku syak aje.
Jadi berusahalah kami ni semua pelajar lelaki untuk jadi pemain bola sepak yang disegani serata sekolah. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, entah dari mana datang khabar angin bahawa akan diadakan satu pertandingan bola sepak terbuka di kawasan kami. Penaja, katanya kedai jualan barang sukan yang agak ternama juga. Tarikh pertandingan pun kalau ikut poster yang kami terima, kebetulan jatuh pada musim cuti pertengahan tahun.
Kami semua berpakat nak masuk pertandingan tu. Tapi, bila tengok kena bayar yuran penyertaan yang agak mahal,kami jadi berbolak balik. Tapi kira berbaloi juga,pasal segala makan minum dan persiapan masa pertandingan dah cover dalam yuran tu. Nak kumpul duit, berapa sangatlah yang kami ni ada? Akhirnya ada satu kutu bagi cadangan, minta dari pengetua sekolah. Mulanya pengetua keberatan nak bagi. Pasal sekolah kami masa tu persatuan bola sepak pun (belum) ada. Tak cukup quota lagi katanya. Nanti tak ada guru persatuan.
Dari mana pulak nak cekau duit masuk pertandingan? Sempat juga kami beberapa kali masuk dan bertegang leher dengan pengetua pasal nak join pertandingan tu. Punyalah kami merayu minta pengetua pertimbangkan keputusan dia.
PS : selingan sikit. Untuk mereka yang belum dapat tangkap lagi, atau masih dalam proses mencerna cerita ini, villain dalam kes ini adalah pengetua kami. Dan situasi juga yang jadi penghalang pasukan bola sepak sekolah kami ditubuhkan.
Puas juga kami pujuk pengetua kami tu. Dia pula sebelum ni menguruskan sekolah yang pelajarnya semua perempuan. Tak ada lagi cikgu sekolah tu yang ada pengalaman dalam sukan bola sepak untuk jadi pelatih dan coach kami katanya. Tapi atas semangat muda dan jiwa membara anak muda kami,kami yakinkan pengetua tu bahawa kami tak perlukan coach. Kami just perlukan dana untuk masuk pertandingan tu. Kami juga janji bawa pulang piala, dan bawak nama sekolah agar dikenali di kawasan kami tu.
Akhirnya, pengetua terpaksa mengalah kepada sekumpulan anak muda yang dah tekad semangatnya itu. Tapi dengan syarat. Kena masuk pertandingan dengan nama sekolah kami, dan juga kena bawak sorang guru sebagai guru pengiring masa pertandingan tu nanti.
Itu pun satu masalah juga sebenarnya. Sekolah kami ni, cikgu lelakinya kalau dikira dengan jari, tak perlu sampai dua tangan pun bilangannya. Termasuk pengetua, dan pembantu tadbir seorang,adalah tinggal dalam 4 orang jumlahnya. Dan seorang tu pulak dah nak menunggu masa bersara dah pun. Yang tinggal seorang lagi tu, kami syak dia tak berminat dengan bola sepak memandangkan hobinya adalah menjahit langsir.
Tapi, syarat perlu dipenuhi. Kalau tak,yuran pertandingan tu kami tak dapat. Akhirnya berjaya juga kami pujuk cikgu menjahit tu jadi guru pengiring kami. Walau dia sendiri pun rasanya sangsi apa beza antara outside dengan offside. Tapi dia juga meletakkan syarat sebelum setuju jadi guru pengiring kami.
Syaratnya, dia cuma nak datang hantar dan ambil kami sahaja. Latihan ke, urusan daptar ke, siapa player, siapa simpanan ke, dia tak mahu ambil tahu. Dia cuma jadi guru pengiring sahaja. Kerja dia cuma hantar dan ambil kami balik sahaja. Malah,masa hari pertandingan pun dia tak dapat ikut menjaga kami sepanjang pertandingan berlangsung. Katanya dia ada kelas lain masa hari kejadian tu. Entah entah kelas memasak.
Kami setuju syarat dia. Lagipun dia bukan tahu sangat pasal bola sepak. Kang dibuatnya dia suruh player simpanan semua jadi pom pom boys kang lagi naya.
Hari pertandingan hampir tiba. List player semua dah lengkap. Semuanya total hampir 20 orang player yang akan masuk. Termasuk budak milo, budak konon konon pengurus pasukan, dan budak extra sebagai penjaga garisan seperti yang dikehendaki oleh penganjur.
Seperti yang dijanjikan oleh pengetua dan guru pengiring, pagi tu pengetua menyerahkan duit yuran penyertaan untuk kami menyertai pertandingan tu. Duit diserahkan kepada guru pengiring. Dan bertolaklah kami bersama guru pengiring ke lokasi pertandingan.
Bila sampai ke lokasi, kami nampak ada beberapa team sudah sampai dan tengah dok sibuk berlatih main passing passing bola. Sesuai perjanjian kami bersama guru pengiring, duit yuran dia serahkan kepada pengurus pasukan. Kemudian guru kami tu berpesan suruh kami semua berkumpul tepat jam 6 petang nanti untuk kami pulang. Kami tak banyak bunyi. Ambil semua kelengkapan dan terus mencari urusetia. Cikgu dan bas sekolah kami pun berangkat pulang.
Lepas hampir 20 minit kami mundar mandir mencari urusetia, keadaan jadi kecoh apabila beberapa team maklumkan kepada kami yang pertandingan tu batal. Pasal penaja lari last minute dan penganjur pula tak ada backup lain untuk teruskan pertandingan.
Kami dah melopong. Kena kapur. Terngiang ngiang segala janji yang kami taburkan kepada pengetua kononnya nak banggakan dia dengan sekurang kurangnya bawa pingat perak untuk pertandingan ni. Sudahlah kami beriya iya pujuk dia, siap minta duit yuran, siap minta buka persatuan segala, siap minta dia sediakan bas pula lagi.
Last last kena kapur macam gitu aje. Apa jadah? Balik nanti malu kami ni. Mana nak letak muka? Gelaplah harapan bola sepak Malaysia kalau pertandingan kecik gini pun ada bookie bawak lari duit segala.
Termenung juga kami masa tu. Malu pun ada. Kecewa pun ada. Cuma malu tu lebih besarlah dari kecewa. Lagi pula, kemenangan yang kami janjikan kepada pengetua tu akan kami jadikan batu loncatan supaya persatuan bola sepak sekolah kami dapat diwujudkan.
Jam baru menunjukkan pukul 11.30 pagi. Lama lagi masa nak tunggu cikgu pengiring kami datang ambil kami. Dengan marah lagi…dengan lapar lagi (makan tengahari sepatutnya disediakan oleh penganjur), dengan kecewa lagi.
Dalam kami termenung dok pikir apa nak jadi pulak, sorang kutu pulak dah bagi cadangan baik. Guna duit yuran tu untuk beli makanan. Nanti kita pulangkan ajelah bakinya kat pengetua. Pasal dah lapar, semua pakat setuju.Kami hantar 3 orang runner untuk survey pi beli nasi ayam dan air teh o ais untuk semua player.
Lama juga kami tunggu runner tu masa tu.
Runner kami masa tu plak entah mana datang dapat idea genius dan geliga dia, masa beli makanan tu dia boleh lalu depan satu kedai cenderamata. Timbul idea bijak dia pulak.
Dah alang alang duit yuran tu kami guna untuk beli makanan, kenapa tidak kami lantik diri sendiri jadi pemenang pertandingan bola sepak tu? Kami dah pergi untuk daftar pun. Dan penganjur yang lari, bukan salah kami. Why not kami beli aje hadiah sendiri dan nobatkan diri kami selaku juara pertandingan tu kalau penganjur (yang lari) tu tak mahu nobatkan kami jadi juara?
Runner tu bawak balik nasi ayam cukup untuk semua player, dan bentangkan idea dia kepada semua player. Semua lopong dengar. Idea tu boleh tahan bijaknya. Atau mungkin juga runner tu yang bijak pasal boleh convince kami semua bahawa idea dia tu bijak dan tak ada salahnya idea dia tu. Aku pun tak pasti sangat.
Last last, kami semua pakat yang idea tu boleh pakai dan bijak. Berbondong bondonglah kami semua berjalan mendabik dada pergi ke kedai cenderamata tu. Berbekal baki wang yuran, kami pilih satu piala yang agak saiz besar. Asal nampak besar aje sudahlah..dan minta juga kedai tu sediakan plague kat piala tu.
Selebihnya kami beli medal sebagai naib johan (pasal tak mahu tipu berlebihan). ada satu dua kutu yang ada duit lebih sikit, pergi beli piala kecik dan pasang sebagai penjaring terbanyak, dan penjaga gol terbaik.
Dan lepas tu kami buat meeting untuk rangka apa cerita yang nak dibawa pulang nanti. Menang berapa kosong? Bolos berapa gol? Peringkat kumpulan dengan siapa? Semi final lawan siapa? Masa final kalah berapa gol. Semua cerita perlu selaras supaya tak berbeza kalau pengetua tanya. Dan ceritanya juga perlu seimbang supaya tak nampak terlalu hero dan believeable.
Tepat jam 6, guru pengiring kami datang dengan bas. Dan kami semua berpura pura gembira dan letih sambil naik bas dengan kalungan medal naib johan di leher masing masing. Bersorak sorai kami semua kononnya gembira.
Perjalanan naik bas pulang hari tu terasa cukup dekat. Semuanya terlalu pantas kalau kau tengah gembira..mungkin. Sampai ke sekolah, piala tu kami serahkan kepada guru pengiring kami untuk diletak dalam almari sekolah.
Piala tu tak melambangkan apa apa pun pada kami. Piala murah. Cuma title yang dibawa oleh piala tu jauh lebih besar dan berharga kepada kami sebenarnya. NAIB JOHAN PERTANDINGAN BOLA SEPAK TERBUKA E-Z SPORTS 1997. nampak gah betul..dan tak terlalun gah sampai jadi Johan.
Semasa perhimpunan awal minggu pertama selepas cuti pertengahan tahun tu, semua 20 orang pemain bola sepak Pertandingan Bola Sepak Terbuka E-Z Sports Centre yang memenangi pingat perak dalam pertandingan itu, naik ke hadapan pentas untuk dikalungkan pingat oleh pengetua kami. Tersenyum lebar pengetua kami. Pasukan bola sepak sekolah kami mula menerima kepercayaan dari pengetua.
Pengurus pasukan pun sempat juga minta maaf dari pengetua. “Dapat naib johan aje cikgu.Maaf ya. Takpe tahun depan kami cuba lagi” katanya.
Begitulah sejarah yang bakal telah tertulis dalam buku majalah sekolah kami. Benarlah kata aku tadi. Sejarah bukan ditulis oleh orang yang menang. Bukan juga ditulis oleh orang yang kalah. Tetapi ianya ditulis oleh orang yang care. Orang yang peduli. Itulah sebab kami sejaraahkan kisah kami ni. Pasal kami care. Kami peduli. Dan kami bakal jadi HERO.
Dan sampai hari ini, di majalah sekolah kami, bahagian Persatuan Bola Sepak pun, diabadikan sejarah tentang kejayaan kami merangkul pingat NAIB JOHAN PERTANDINGAN BOLA SEPAK E-Z SPORTS 1997.
Siapa nak sangkal sejarah ini, kan? Akan kekallah kami sebagai hero.
Lagipun, bukan ada orang nak bagitahu pihak sekolah pun kami tak bagitahu..kan? Penganjur? Ek eleeehh.. diorang pun kapur duit peserta lain.
Begitulah kisah sekumpulan lelaki yang peduli..yang care..dalam menulis sejarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan